Saya menziarahi kematian keluarga di kampong, di Langgar pagi tadi. Suasana yang muram dan memilukan. Ibu yang masih kuat dan segar, menghembus nafas terakhir selepas makan malam. Allah memanggil nya dengan restu anak anak dan keluarga. Kesedihan tetap wujud terasa namun sudah menjadi suratan Illahi. Hanya kaum keluarga dan sahabat handai yang menziarah menjadi penyejuk jiwa dan hati.
Walau pun bukan tempat yang baik untuk berbincang mengenai politik dan hal ehwal semasa, tetapi ada juga yang tergerak hati untuk memulakan. Saya hanya menjadi pendengar, walau pun topik nya banyak berkisar dengan kehidupan, tugas dan minat saya. Saya mesti mampu menjadi pendengar yang baik dan bersopan. Ini hari keluarga bersedih. Kelompok manusia yang bercakap ini ikhlas sebenarnya. Mereka menceritakan hal mereka, nasib mereka dan keluarga mereka. Saya tidak rasa itu kesalahan, dan tidak juga rasa terkilan, walau pun mungkin tempat nya saja tidak berapa sesuai. Mereka bercakap mengenai kehidupan mereka, tanggungjawab dan masalah mereka. Mereka orang kampong, itu sedaya mereka, bercakap!!
Masalah minyak naik, barang naik, dan macam macam lagi akan naik, menurut mereka. Dalam nada lembut ada yang bertanya, apakah harga padi akan naik. Beras itu dari padi, kata mereka. Bagaimana pula beras boleh naik sedangkan harga padi masih ditakuk lama. Mereka cuba membuat perbandingan zaman dulu dan sekarang. Kepimpinan terdahulu, kenaikan harga barang tidak mendadak seperti sekarang. Kalau naik pun secara tidak tinggi mendadak. Zaman Tun (maksud nya Dr Mahathir) barang naik ada perkiraan kepentingan orang kampong dan orang Melayu. Kenaikan nya tidak sampai keperingkat 78 sen bagi harga petrol, kata mereka.
Saya terima hakikat bahawa sah..isu minyak dan harga barang akan naik sudah jadi bahan sembang di merata tempat, dikampong dan di desa. Semua orang bercakap pasal harga barang naik. Saya tidak berani nak bercakap macam Dato Shahril Samad seperti didalam forum TV 1 semalam. Pendekatan jangka panjang, kerajaan telus dan bertanggung jawab. Saya tidak berani kerana saya sendiri tidak berupaya. Saya lemah mendengar rintihan kaum keluarga, sahabat handai dan masyarakat desa. Saya lagi takut hendak menyebut perkataan `prudent' seperti yang diungkap oleh Dato Shahril dan YB Salahuddin Ayub, walau pun saya kenal karektor dan pengertian `perkataan' itu. Jelas, saya kurang berupaya untuk memberi penjelasan dan penerangan yang menyakinkan. Saya gagal!!
Saya dan isteri hanya mampu bersedekahkan AlFatihah kepada allahyarhamah dan kepada keluarga nya, saya hanya mampu untuk mendoakan agar mereka bersabar menghadapi kesedihan ini. Yang lain lain nya, saya pasrah.
Wednesday, June 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment