Tuesday, February 23, 2010

Gambar kenangan...untuk dikenang dan direnungi...oleh semua


Ibu mertua saya mengupah beberapa orang pekerja kontrak untuk menebang beberapa batang pokok keriang, halban dan kelapa yang agak tua untuk mencerahkan kawasan halaman rumah. Mereka menggunakan `back hoe` atau `cari makan` dalam bahasa mudah Kedah yang dipunyai oleh seorang Cina sementara tuan punya lori untuk mengangkut batang pokok yang ditebang seorang Melayu.

Semasa berbual dengan mereka, saya diberitahu kedua duanya tinggal disatu taman dan berjiran. Hubungan mereka cukup akrab. Kalau towkey lori dapat kontrak untuk mengangkut barang dan memerlukan khidmat rakan tuan punya `back hoe` akan dipanggil menjalankan kerja kontrak bersama. Begitu juga sebaliknya. Bertahun tahun mereka menjalankan kerja secara `jv` kecil kecilan itu. Tuan punya lori Melayu kerapkali menumpangkan anak tuan punya `back hoe` Cina kesekolah dan begitu juga sebaliknya jika ada kelapangan dipihak kedua dua mereka. Semasa Tahun Baru Cina, tuan punya `back hoe` Cina juga berpesan kepada tuan punya lori Melayu supaya `tengok tengokkan rumah` nya semasa ketiadaan beliau untuk menyambut Kong Hee Fatt Choy ke Kuala Lumpur.

Apa yang saya cuba tampilkan disini adalah hubungan akrab kedua dua manusia ini. Seorang Cina dan seorang Melayu. Hubungan dua manusia yang hanya ada kepentingan kehidupan seharian, mencari makan untuk sesama keluarga. Tidak ada kepentingan pengaruh atau kepentingan kaum diantara mereka. Tidak ada rungutan berunsurkan perkauman antara mereka dan tidak ada rasa irihati diantara mereka yang berasaskan kaum dan bangsa. Mereka hidup dengan penuh harmoni dan penuh kasih sayang.

Kemudian saya bertembung dengan seorang pembekal ayam dipasar Jalan Tun Razak yang sibuk memotong ayam untuk dibekalkan kepada seorang gadis Cina yang berkereta baru. Si towkey ayam seorang Melayu amat prihatin tentang kereta baru sianak gadis Cina semasa meletakkan bungkusan ayam yang masih basah kedalam kereta. Dan sigadis Cina juga sudah berlanggan dengan sitowkey ayam Melayu sejak bertahun lama. Menurut sigadis Cina dia membeli ayam dari pembekal Melayu tersebut kerana mahukan ayam yang disembelih secara Islam kerana kebersihan dan untuk disajikan kepada rakan rakan Islam sempena Tahun Baru Cina. Yang anehnya kalau pun bukan musim perayaan, sigadis Cina tetap berlanggan dengan towkey ayam Melayu yang sama dipasar tersebut. Tidak ada perasaan perkauman langsung diantara kedua dua mereka. Dan tidak unsur unsur prasangka diantara mereka. Seorang pembekal ayam Melayu dan seorang pembeli gadis Cina.

Dibandar Alor Setar terdapat sebuah restoran Cina hailam makanan halal yang mempunyai seorang pelayan pemuda Melayu sejak tahun tujuh puluhan lagi. Pemuda Melayu tersebut telah bekerja sebagai pelayan direstoran tersebut sejak beliau masih bujang dan hingga kini sudah berkeluarga dan dibayar gaji tinggi setaraf gaji kerani kanan. Sudah hampir 25 tahun pemuda tersebut bekerja direstoran tersebut.

Restoran yang menyajikan makanan kaum hainan itu dikunjungi oleh berbagai lapisan pelanggan dari berbilang kaum dari sekitar bandar Alor Setar. Tidak ada `suara suara ketuanan Melayu dan tuntutan hak orang Cina` disembangkan disitu. Ianya hanya lambang restoran makanan enak dan popular tanpa ada elemen prasangka terhadap mana mana kaum dan bangsa.

Dikalangan masyarakat bandar Alor Setar ramai yang akan teringat jika disebut nama seorang kakitangan keturunan Melayu bekerja disebuah pajak gadai Cina dibandar ini. Kakitangan tersebut yang sekarang sudah Allahyarham bekerja dengan kedai pajak gadai tersebut sehingga dia meninggal. Kepercayaan tuan punya kedai pajak gadai tersebut begitu terserlah sehingga allahyarham diberi kepercayaan menjadi penilai dikedai tersebut dengan gaji yang amat lumayan. Sektor perniagaan pajak gadai yang selalunya hanya diterokai orang orang Cina memberi kepercayaan kepada seorang anak Melayu yang jujur, ikhlas dan amanah. Tidak ada prejudice disini. Ianya hanya melibatkan kepercayaan, kemahiran dan kesetiaan. Tidak ada kelayakan dari aspek kaum, agama dan bangsa diambil kira.

Semasa saya dan rakan menjalankan restoran masakan India dibandar ini, separuh dari pelanggan restoran adalah dari masyarakat Cina dan India. Sekumpulan pelanggan Cina dari kalangan pesara yang datang hampir setiap malam untuk `lepak lepak` tidak pernah membangkitkan isu isu kedai Melayu atau kedai Cina. Malah mereka dengan jelas menyatakan bahawa mereka melanggani restoran ini kerana ianya memenuhi jitarasa mereka yang mahukan tempat untuk `lepak' dan bersembang bersama rakan. Tidak timbul soal siapa tuan punya restoran dan siapa yang melayani mereka. Hanya untuk segelas teh tarik dan sekeping roti canai, mereka tidak langsung mahu tahu siapa tuan punya restoran tersebut asalkan teh tarik dan roti canai tersebut menepati selera mereka.

DiHospital Sultanah Bahiyah, selaku Pengerusi Lembaga Pelawat, saya kerapkali berinteraksi dan berhubung dengan doktor, jururawat dan pembantu perubatan dari berbagai bangsa. Seorang pakar kanak kanak keturunan Cina, masih bujang menghabiskan masa cuti mingguannya diklinik dan wad kanak kanak. Keluarga pesakit kanak kanak yang majoritinya berbangsa Melayu amat senang dan memuji keprihatinan doktor pakar ini. Komitmen beliau amat jelas dan sebagai seorang doktor beliau dilihat `colour blind` apabila kebajikan dan rawatan pesakit menjadi keutamaan.

Seorang pakar perubatan berketurunan India menjadi bualan mulut pesakit dan kakitangan hospital kerana bukan saja punyai hubungan baik dengan pesakit tetapi juga melawat pesakit dirumah sewaktu cuti dan lepas pejabat. Seorang pakar saikologi berbangsa Melayu seringkali disebut sebut keluarga pesakit saikitrik kerana keprihatinan tentang kebajikan seseorang pesakit sehingga sanggup memantu untuk mendapatkan bantuan dari jabatan kebajikan masyarakat. Seorang jururawat keturunan Melayu pula sanggup memberi wang dari poket sendiri untuk tambang kepada seorang pesakit Cina yang tidak punyai wang untuk pulang kerumah kerana anak yang ditunggu lambat sampai.

Doktor, jururawat, pembantu perubatan dan atenden dibahagian kecemasan yang langsung tidak melihat warna kulit dan keturunan apabila pesakit dibawa masuk kebilik kecemasan. Mereka juga tidak mengambil kira jika sekiranya pesakit yang dibawa adalah `mat rempit` yang baru saja berlumba dijalan raya.

Kisah diatas adalah sebahagian dari apa yang kita lihat terjadi dan berlaku dikalangan masyarakat bawahan dinegara ini. Mereka tidak bercakap mengenai kepentingan kaum dan ketidakpuasan etnik dan keturunan. Mereka hidup sudah lama harmoni dan bekerjasama diantara satu sama lain sejak turun temurun. Tidak ada perbahasan mengenai hak yang tidak dituntut dan hak yang telah termeterai semasa mereka bersarapan pagi dan minum petang. Mereka hanya mahu hidup bersama tanpa banyak mengajukan soalan soalan yang sudah lama terjawab dan diketahui umum. Mereka hanya mahu hidup aman, damai dan sejahtera. Pengertian aman, damai dan sejahtera sebenarnya bukan seperti yang ditulis diatas kain rentang dan pemidang yang dipasang semasa demonstrasi.

Malangnya, mereka yang banyak menuntut hak dan mempertahankan hak kononnya, adalah dari kalangan yang punyai kepentingan diri dan kelompok. Mereka melaungkan tuntutan dan hak kerana kepentingan dan agenda politik sempit yang bersifat micro dan sementara. Dalam banyak keadaan, mereka inilah yang sebenarnya bertanggung jawab meniup api perkauman sesama rakyat dinegara ini. Mereka ini sebenarnya agen pemusnah keamanan, keharmonian dan kesejahteraan.

Semasa menaiki teksi dari LCCT kePutrajaya suatu ketika, saya mendengar kata kata dari pemandu teksi keturunan Cina yang mendakwa bahawa Melayu dan Cina berkuasa dan berkedudukan amat intim penyatuannya sementara Melayu dan Cina yang kais pagi makan pagi juga amat terserlah penyatuannya. Dalam bahasa yang senang difahami, Melayu dan Cina berkuasa dan kaya cukup bersatu diantara satu sama lain begitu juga Melayu dan Cina yang susah dan miskin juga amat jitu penyatuannya. Penyatuan diantara dua kasta manusia. Penyatuan yang golongan kedua ini lebih jujur, ikhlas dan bertanggung jawab. Adakah situasi ini yang kita hasratkan dinegara ini.

6 comments:

Anonymous said...

UMNOlah yang jadi kaki hasut tu selama ini tuan.

Anonymous said...

Kalangan pemimpin terleka dengan agenda untuk berkuasa tetapi rakyat terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar seperti disisihkan. Mereka hanya didekati sewaktu hampir musim pilihanraya. Ketika inilah dilihat kalangan pemimpin sanggup pakai pakaian murah pergi menemui mereka. Hal ini amat berbeza dengan ketika hendak menuntut merdeka atau ketika kita baru merdeka dulu. Waktu itu kalangan pemimpin kelihatan mesra rakyat. Kini bila negeri-negeri Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang serta kegagalan merampas kembali Kelantan barulah BN menggelabah. Sikap kerajaan pembangkang yang berusaha dan ada yang dilihat berjaya merealisasikan perubahan untuk dinikmati rakyat, kerajaan BN mencari jalan untuk memburuk-burukkannya sehingga sanggup menggunakan media dengan kenyataan yang bukan-bukan sehingga rakyat naik meluat. Pada hal mereka ini (rakyat) dulu adalah juga penyokong kerajaan BN. Kini sudah ada media yang lebih menarik mengaplikasikan dunia tanpa sempadan dan langit terbuka. Itupun kadang-kadang ada sabotaj yang boleh membangkitkan rasa marah terhadap kerajaan.

Anonymous said...

Abg.Haji,

Di Kelantan, khususnya di tempat saya, di P.Mas, hudaya seumpama itu dah lama ujud..orang Cina cakap dailek Kelantan pekat...makan pula masakan Klenatan...nasi dagang dan kerabu...pagi-pagi penuh melanggan Cina di kedai nasi ma saya dulu.

Masa dulu2 waktu 70an kami sama-sama bawa bekal ke sekolah, sama-sama makan...tanpa prujedis tanpa syak...padahal masa itu ibu ayah dah ajar halal haram...tapi sebab dia bersih hati makanan yang dibawa pun bersih...kami sama-sama menjamahnya.

Atuk saya orang kuat Umno..waktu 13 Mei semua orang Cina dua tiga buah kg berhimpun di rumah kami..cari perlindungan merayu supaya tidak diapa-apakan...kami lindungi mereka sebab mereka tidak bersalah...

Itulah akrabnya kami dengan orang Cina Kelantan...di Kedah pun sama..budaya itu tetap diperkuat dengan 1 malaysia...pokoknya di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung....tapi tak taulah orang sebelah sana..putih hijau tak berapa suka kot 1 Malaysia ni...

Anonymous said...

Tuan dan sahabat.

Saya amat kenal pekerja Melayu di kedai pajak gadai yang tuan maksudkan itu. Kalau tidak silap Kedai Pajak Gadai Poh Yik.

Beliau dikenali sebagai Atan (sekarang sudah meninggal) fasih berbahasa Hokkien dan amat disenangi oleh semua orang terutama yang berurusan dengan beliau. Saya juga tahu tuan punya pajak gadai tersebut amat sayang dan mempercayai beliau. Moga moga Rohnya dirahmati Alklah.

Kerjaya beliau di kedai pajak itu adalah contoh bahawa bibit bibit perkauman hanya ditiup oleh manusia manusia durjana yang berkepentingan. Selalunya golongan ini adalah dari kalangan orang politik.

Zaman sudah berubah, manusia sudah semakin pandai. Tidak ramai yang akan termakan dengan tiupan api perkauman yang dimainkan atas kepentingan sesuatu bangsa dan keturunan. Jauh sekali atas kepentingan kuasa.


Guru Pencen Sekolah Melayu
Jitra, Kedah.

Anonymous said...

He he kalau nak menang balik BN dibanyak kawasan kena main kaum la sahabat, nanti Melayu Melayu ngok boleh sokong balik sebab takut Cina dan India jadi PM.

Anwar/PKR agen Yahudi dan Amerika, PAS tak tau perintah dan extrim, DAP anti Melayu/Islam, jadi kena sokong baliklah UMNO, kalau tidak kuasa Melayu hilang!

Ngok ngok Melayu pun relalah dengan rasuah, dengan salahguna kuasa dan dengan segala bentuk penyelewengan laki bini dan juak juak pemimpin UMNO, pasal takut kuasa Melayu/Islam hilang.

MP PKR pun dah banyak keluar, dalil semua cantik, kerana agama, bangsa dan negara, Anwar guna kuasa asing, pemimpin PR tak prihatin dan macam macam dialog dialog menggelikan hati yang dibuat disidang akhbar (kalau tak keluar PKR surat khabar Siam pun mahu ambil tahu) yang orang tolong skripkan.

he he he syoknya tengok lakonan orang politik Malaysia ini, depa ingat kita tak pi sekolah apa?

Ahli UMNO Enam Puluhan

Siberangan said...

Tuan Haji, yang susahnya,

Cina yang bawak bejho pi tebang pokok kghiang, nyoq dkat rumah mak mentua tuan haji tu Cina kampong. Cina yang pandai cari makan dengan orang Melayu. Dia baik laahh. Macam Cina yang dok kat Aloq Cina laaahhh.. depa okyyyy....

Cina pekan bukan macam tu. Depa ni dok lawan nak ambik Tanah Melayu macam Ibrahim Ali dok cakap tuuu... La, Lim Kit Siang cakap pengotoq macam babi.

Macam ni ka peghangai Lim Kit Siang masa Tuan Haji jaga dia dulu?