Saya mengambil masa sedikit untuk membuat ulasan dan komen berhubung dengan keputusan Pilihanraya Kecil P44 Permatang Pauh pada 26hb Ogos lalu. Saya berada di Permatang Pauh `off and on' selama beberapa hari tetapi hanya berada beberapa jam pada hari pembuangan undi kerana terikat dengan `janji' dengan cucu yang menyambut hari jadi. Banyak sebabnya saya lebih mementingkan sambutan ala kadar hari jadi cucu yang hanya berumur satu tahun dari `melihat lihat' apa yang berlaku di kawasan pilihan tersebut. Apa yang diamanahkan kepada saya telah saya selesaikan sebelumnya. Entah kenapa keghairahan saya agak menurun.
Keputusan pembuangan undi itu pun hanya saya tunggu dari kawan kawan media yang bertugas di Permatang Pauh. Petang itu, saya diberitahu Anwar akan menang besar. Jam 7 lebih saya diberitahu DUN Seberang Jaya tumpas dirangan Anwar. Kemudian saya menerima berita Anwar sudah mendapat majoriti lebih 8 ribu lebih sedangkan 16 peti undi masih belum dikira. Jam 10 lebih barulah berita rasmi mengumumkna bahawa Anwar dari PKR menang dengan undi 31,195 dan Ariff Shah dari BN hanya berjaya mendapat sejumlah 15,524 undi. Calun AKIM hanya mampu diundi oleh 92 orang dan hilang deposit. Anwar menang dengan majoriti yang lebih dari apa yang diraih oleh isteri beliau Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelumnya.
Itu cerita keputusan pilihanraya kecil. Kalau saya tak tulis pun memang telah terbentang didada dada akhbar media perdana dan media bukan perdana. Keputusan itu sudah jadi pengetahuan orang ramai. Semua orang tahu Anwar memang dan dengan majoriti yang besar. Semua orang tahu juga Dato Ariff Shah walau pun fasih berbahasa Mandarin telah kalah ditangan Anwar yang hanya baru belajar menyebut 'ni how ma, sheh sheh ni, fan tui tong, min chu sin tong tang, wu tong, ma hua tong, vanakkam, makkal sakti' dan lain lain perkataan yang masih terlalu baru dalam kehidupan politik beliau. Namun demikian oarng Cina dan orang India sudah boleh terima dan memilih Anwar. Orang Melayu khususnya di Permatang Pauh memang sudah sebati dengan Anwar. Dia tak boleh bertanding isteri dia depa pilih. Sampai tiga penggal pulak tu.
Keputusan pilihanraya tersebut memang dijangkakan. Kalau pun PKR menang, majoritinya dijangka akan berkurangan. Sekurang kurang itulah yang harapan BN dan andaian ramai orang. Saya juga menyangkakan peratus majoriti PKR akan menurun. Anwar dijangka menang. Seperti kata Ariff Shah, Anwar ibarat gajah yang beliau hadapi. Awal awal lagi pun Dato Najib sudah menyatakan bahawa BN bertanding sebagai 'under dog'. Muhamad Taib hanya bercakap pasal 'under dog' selepas kalah. Najib nampak lebih praktikal dan menerima realiti.
Apa yang sukar untuk 'dimengertikan' ialah kata kata dari setengah kepimpinan BN mengenai keputusan pilihanraya tersebut. Seperti diduga Dato Shabery Cheek menganggap tiada apa yang perlu dirisaukan. Anggota BN tidak harus bersedih. Itu memang kerusi PKR dan BN tidak tergugat dengan pengekalan kerusi Permatang Pauh itu. Pak Lah tetap Persiden UMNO dan PM begitu juga Najib. Bagi Shabery Cheek, Pak Lah kekal jadi PM lebih penting walau pun sudah begitu ketara rakyat Permatang Pauh memberi tanda tanda tertentu. Betul juga tu, kalau Pak Lah kekal PM, Shabery Cheek sudah tentu kekal sebagai Menteri. Satu kenyataan yang amat bertepatan dan sesuai dengan citarasa, hasrat dan niat dihati.
Dato Najib pula menyifatkan kemenangan Anwar di Permatang Pauh jelas menunjukkan bahawa demokrasi tetap segar dinegara ini. Ada menang ada kalah, demokrasi lah tu. Ada undi parti kerajaan, ada undi parti pembangkang, demokrasi lah tu. Memang segar bugar proses demokrasi dinegara ini. Pak Lah pula kata majoriti BN masih kekal dan dengan 140 kerusi dan BN masih memerintah. Betul juga kata Pak Lah tu. PR hanya ada 82 kerusi dan kemenangan Anwar tidak menambah kerusi pembangkang di Parlimen. Maknanya memang betullah kata Pak Lah kerajaan BN tidak tergugat. Belum sampai 'worrying level' kata Pak Lah. Baiknya, Pak Lah mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim kerana menang. Itu pun salah satu sifat dalam elemen demokrasi juga.
Hanya beberapa orang yang telah diduga akan berkata sebaliknya. Tengku Razaleigh Hamzah menganggap bahawa keputusan PRK P44 itu menunjukkan bahawa rakyat telah menilai kepimpinan masakini. Rakyat menuntut perubahan kepimpinan dan perlu dilakukan dengan segera. Menteri Besar Trengganu, Dato Ahmad Said pula menganggap bahawa jentera BN agak lemah dan lambat untuk menyakinkan mengundi. Komen dan pendapat Dato Kadar Shah dari Muar dan Dato Mukhriz Mahathir juga menjuruskan kearah isu yang sama. Kepimpinan Pak Lah ditolak rakyat, bahasanya saja kurang ketara. TS Muhyiddin Yassin juga agak skeptikal dengan keputusan tersebut, perlu ada analisa dan kajian. Jangan anggap ringan, kata Muhyiddin. Begitu juga pendapat Dr Wee Ka Siong, Setiausaha Agung Pemuda MCA, we should look into our weaknesses and analyse our machinery and activities during the election. Komen Dr Mahathir tak payah cakaplah. Dendam dia pada Anwar mana boleh hilang.
Sebenarnya ramai yang berpendapat bahawa UMNO/BN perlu musasabah diri dengan jujur dan ikhlas. Jangan cari dalil dan sebab. Sebabnya sudah jelas dan dalilnya juga sudah terang benderang. Namun cakap dan pendapat mereka tidak direkod dan dirakamkan. Media hanya cari orang berjawatan dan ada nama. 'Man on street' tidak diambil kira. Pandangan rakyat memang tidak dikesan dan digauli. Akhirnya peti undi menjadi tempat memberi komen dan analisa. Hukuman dijatuhkan kerana tiada siapa yang mahu mendengar. Pemimpin hanya mahu mendengar cakap cakap orang keliling pinggang. Mereka hanya selesa mendengar cakap cakap dan laporan `self claimed strategists' dan pakar pakar UMNO yang berpuluh tahun menjadi sukarelawan bergaji didalam setiap pilihanraya. Laporan setiap peti undi akan ada perubahan dan boleh menang. Anwar akan jadi 'kupang tembaga' kata pakar strategi UMNO ini. Golongan ini sebenarnya pandai `menyanyi' dan `menggula' pemimpin. Walau pun dalam banyak keadaan, hanya lagu lagu `R.Azmi dan Rosiah Chik' yang sering didendangkan. Maka akan terus hiduplah mereka dengan `keangkuhan dan keegoan' yang tidak menentu.
Saya menerima pendapat seorang bekas SUS seorang menteri besar dan seorang SUSK seorang menteri pusat. Kedua dua penyokong UMNO namun tidak dapat menerima hakikat bahawa kepimpinan masakini masih tidak berubah. Budaya dan amalan politik masih ditakuk lama. Perangai tidak berubah. Style lama masih kekal. Pendekatan terhadap masalah rakyat jauh sekali diutamakan. Gejala berebut jawatan masih kekal menebal dihati sanubari setiap peringkat kepimpinan UMNO. Kalau hendak mentafsir dan memberi definasi perkataan demokrasi dan politik, orang UMNOlah yang paling pandai. Apatah lagi menjelang proses pemilihan bahagian dewasa ini.
Seorang pengurus hotel pula jelas menunjukkan kehampaan beliau dengan sikap dan budaya politik dalam UMNO. Orang UMNO sukar nak berubah, masih tidak mahu menerima realiti dan hakikat semasa. Tektik pilihanraya masih menggunakan tektik lama. Syok sendiri dalam banyak keadaan. Dia ini pula ahli UMNO pula tu. Sebagai pengurus hotel tempat pemimpin dan ahli UMNO berkumpul dan tinggal, dia memang banyak tahu akan perangai dan habit mereka. Suara suara `dissidents' dalam UMNO lah tu. Kalau didengar oleh 'pakar pakar strategi UMNO' yang disebut tadi, orang orang begini akan dianggap serpihan, desparado dan mungkin telah dirasuk pembangkang!
Saya sebenarnya sudah hilang minat untuk memberikan komen mengenai keputusan pilihanraya ini. Kecil mahu pun besar. Kalau pakai bateri, buang masa untuk charge bateri saja. Sudah terbukti tidak ada yang mahu ambil tahu dan mahu mendengar. Cakap sorang soranglah. Kadang kadang terasa benar kita buang masa. Selalunya kena cop tak pasal pasal. They never learn!
Kita kerapkali terlupa 'we are dealing with human being'. Kita selalu terlupa bahawa rakyat boleh berubah. Fikiran mereka tidak terus statik sampai bila bila. Jangan ingat saluran 4 sahaja yang berubah. Saluran lain juga akan berubah kalau kepimpinan tidak memikirkan sesuatu yang sudah dihasratkan oleh majoriti rakyat. Mainan media massa perdana secara lebih lebihan sudah dapat dihidu rakyat teramai. Mainan media elektronik juga jangan terlalu terlajak. Dari TV 1 hingga ke TV 9...sembilan stations pun tak menjadi. Rakyat juga mungkin sudah lama menghidu dan sudah mula muak. Apa yang dianggap strategi sebenarnya sudah dianggap helah dan muslihat. Banyak strategi yang backfired and makan diri. Pengundi sudah tidak terima. They don't buy them.
Pilihanraya Kecil Permatang Pauh sudah jadi bukti sahih. Anwar Ibrahim pun sudah angkat sumpah jadi Ahli Parlimen Malaysia. Dah mula berucap pun. Dari ramai ramai orang yang 'bersumpah' sebelum dan semasa Pilihanraya Kecil tersebut, Anwar juga yang bersumpah di Parlimen. Dari episod tangkapan Anwar, sumpah Saiful, sumpah Dato Najib, sumpah Tajol Rosli, penangkapan EXCO PKR di Perak, agen Amerika, pembelot Melayu dan macam macam lagi strategi tidak menjadi. 31,195 pengundi dari kalangan Melayu, Cina dan India tidak terima semua itu. Kenapa dan mengapa. Kena tanya diri sendiri. Banyak kerja perlu dibuat oleh 'pakar pakar politik' UMNO selepas ini. Itu pun kalau ada selepas ini. Kita pakat pakat tengok dan lihatlah nanti.
Thursday, August 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Saya amat bersetuju dengan pendapat Dr. Wee Ka Siong Setaiausaha Agong MCA. Tapi adakah pemimpin tertinggi UMNO ingin menerima pendapat2 sebegini ?
Teknik lama masih digunakan semasa pilihan raya Permatang pauh. Bermakna R&D BN khususnya umno tidak menyeluruh. Dimana pergerakan Pemuda yang sepatutnya menjalankan tugas R&D tersebut.
Atau mungkin Think Tank sebelum pilihan raya terlalu mengambil pendapat dari satu pihak saje dan terus di persetujui.....
Saya amat berharap selepas ini bangunlah..buka hati dan minda dengan ikhlas untuk memjukan UMNO terus menjadi parti yang relevan untuk bangsa melayu............
Saya amat bersetuju dengan pendapat DR. Wee Ka Siong setiausaha Agong MCA. tetapi adakah pemimpin2 tertinggin Umno ingin menerima pendapat2 sebegini?
Saya kecewa kerana strategi yang digunakan di PP baru2 ini masih teknik lama. saya heran wal hal tak sampai 6 bulan selepas pilihan raya yang lalu BN mengunakan teknik yang sama..kenapa ?
Dimana pergerakan pemuda UMNO yaang sepatutnya membuat R&D? Adakan mereka ini sebenarnya terlampau sibuk dengan tugas perayu undi untuk pemilihan Umno?
Atau think tank yang diadakan ( Kalau Ada) hanya mendengar pendapat seorang saje..dan terus diterima ?
saya berharap sangat agar pemimpin tertinggi UMNO buka lah hati dan minda dengan ikhlas untuk mencari satu perubahan yang akan membawa menafaat buat ahli2 UMNO yang masih sayang kan parti ini. Dan ianya akan terus menjadi parti yang relevan untuk bangsa melayu......
Saya melihat isu yang besar ialah kepimpinan UMNO dari kalangan mereka yang sudah terlalu taksub dengan kuasa, keistimewaan, sokongan dan suasana selesa yang dianggap akan berlarutan.
Mereka tidak menerima suara suara yang berbeza dan berlainan dari kehendak dan matlamat mereka.
Kepimpinan UMNO masakini sudah lupa bahawa kuasa Allah adalah sementara, dan sokongan rakyat juga adalah sementara dan tidak kekal.
Saya mendengar sendiri beberapa tokoh UMNO yang menyatakan bahawa Anwar akan berkubur di Permatang Pauh. Mereka menutup kelemahan, kesalahan dan dosa mereka dengan menonjolkan kelemahan, kesalahan dan dosa orang lain.
Rakyat menilai sejarah mereka bertahun lamanya. UMNO akan kehilangan kuasa kalau sikap dan budaya kepimpinan mereka tidak berubah.
Bekas Perajurit
Pulau Pinang.
Keep it up Anwar and PKR. We are right behind you. BN and UMNO can look for their R&D and if they have the time.
Bravo PKR and Refomasi! The truth will prevail.
Danial Tan
Ipoh.
Kepimpinan UMNO masih angkuh, sombong dan lupa daratan.
Selamat mengalami kekalahan dan kejatuhan dimasa depan.
Anwar juga kana menerima padah kalau dia tidak jujur dan ikhlas dengan perjuangan nya.
UMNO akan jadi bahan muzium suatu hari nanti. Johor memang sesuai jadi tempat didirikan bangunan muzium tersebut. Itu pun kalau pemimpin UMNO Johor tak berubah perangai. Syok sendiri dan hasad dengki yang melampau.
Shahrir, Khaled dan Ghani Othman adalah contoh terbaik yang punyai hati dan prasangka yang sentiasa buruk terlampau.
Ahli UMNO Muar
Muar Johor.
Post a Comment