Saturday, May 29, 2010



Minggu lalu saya sibuk dengan Seminar Thalassaemia Kebangsaan Kali Keempat yang berlangsung dari 6 hingga 9 Mei diHotel Legend diKuala Lumpur. Penyertaan para doktor, paramedik dan pesakit amat membanggakan. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha menganjurkan bersama seminar dwi tahunan ini. Umur panjang kita jumpa lagi tahun 2012 insyaallah...

Terima kasih kepada Prof Dr A Rahman A Jamal, Prof Zarina, Prof Madya Dr Hamidah, Izza dan sahabat sahabat dari UMBI, HUKM, Dr Hishamshah Ibrahim dari MASPHO, Dr Mymoon, Dr Safiah, Haji Jabar, Puan Ainon, Saudara Sabtuah dan sahabat sahabat dari Kementerian Kesihatan. Budi tuan tidak akan dilupakan dan semoga Allah jua yang akan membalas jasa baik tuan tuan.

Dalam Mesyuarat Agung Persekutuan kali ini, perwakilan negeri nampaknya masih belum bersedia untuk mencari Presiden baru. Saya hanya sanggup menerima dengan berat hati. Saya amat memahami akan situasi jawatankuasa diperingkat Pusat dan negeri. Mengetuai dan memimpin persatuan amal dan kebajikan yang hanya bergantung kepada sumbangan bukan senang. Apatah lagi ianya melibatkan penyakit dan pesakit. Tidak ada imbuhan dan tidak ada ganjaran jauh sekali keistimewaan dan kepentingan kewangan.

Saya telah bertekad untuk memegang jawatan ini sementara sahaja. Saya perlu mencari pengganti. Dengan usia yang sudah lanjut dan dengan segala kemampuan yang begitu terhad, saya rasa sudah sampai masanya saya menjadi pembantu dan bukan sebagai ketua. Saya perlu berbincang dengan jawatankuasa baru untuk menentukan halatuju Persekutuan ini dalam masa terdekat.

Saya tidak mahu berdolak dalik macam orang politik dengan genggaman jawatan. Kulit saya nipis dan adakalanya telinga saya juga nipis. Terlalu lama walau pun mungkin diterima dan disokong ramai, saya rasa kita perlu juga berundur. Adalah terlalu naif untuk memikirkan bahawa tanpa kita organisasi tidak boleh bergerak. Itu pendapat dangkal dan hanya orang politik Malaysia sahaja yang punyai pegangan dan pendapat begitu. Saya malu kalau terlalu lama memegang sesuatu jawatan kalau pun saya masih disokongdan dikehendaki. Pada saya kalau seorang dua sudah menunjukkan bahasa isyarat tertentu, kita kena ketepi dan bagi laluan untuk orang lain. Majority or minority adalah illusi ketamakan kita semata mata.

Pada saya kalau Imam yang tidak bermasalah pun, kalau sudah terlalu lama menjadi Imam, kena berundur juga. Jangan beri justifikasi jalanan bahawa ahli masih mahukan kita. Itu cerita dongeng dan buatan sendiri. Kita kena sedar diri. Dr Mahathir berhenti setelah melihat tanda tanda awal dan lenggok tari bahasa tubuh ahli UMNO terhadap kepimpinan nya. Itu pun pada saya setelah sudah terlalu lama....22 tahun! Begitu juga Abdullah Ahmad Badawi, Ling Liong Sik, Ong Ka Ting dan Lim Keng Yaik. Langkah mereka ada sedikit kelas. Never overstay your welcome! Jangan ikut sesetengah pemimpin, dia ada banyak justifikasi yang direka khas untuk kekal. Malu!!!

Itu kes saya dan Persekutuan Pertubuhan Thalassaemia Malaysia. Badan amal yang tidak prominent dan tidak glamour. Kami boleh selesaikan masalah kami cara kami. Cara orang orang buat amal dan kebajikan. Tidak ada ketaksuban demokrasi dalam budaya kami. Yang ada hanya buat amal dan kebajikan. Ahli ahli kami hanya tahu mentafsirkan kesakitan, penderitaan dan rawatan. Yang kami perlukan sokongan dan bantuan. Juara pentafsir demokrasi tidak ramai dikalangan kami. Juara pejuang politik juga tidak ada dikalangan kami. Tidak ada juara katak atau kaki lompat diantara kami. Pejuang ketuanan bangsa juga tidak ada dikalangan kami. Sakit tidak mengenal bangsa, keturunan dan anutan agama. Syukur saya dapat mendampingi manusia manusia penderita ini. Lapang dada bersama mereka. Mereka kalangan yang tahu dan cepat bersyukur.

Saya akan ke Cyprus untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah Persekutuan Thalassaemia Antarabangsa - TIF pada 26-27 Jun ini. Saya bercadang untuk singgah di Ankara untuk bertemu rakan rakan yang terlibat dengan pusat thalassaemia disana dan sekembali nanti singgah Dubai Thalassaemia Centre di Dubai. Sebagai ahli Lembaga TIF dari Asean saya akan ke Phnom Penh pada 5 ke 6 Julai untuk bertemu dengan Persatuan Thalassaemia Cambodia dan ke Manila pada 12 hingga 15 Julai untuk Workshop TIF. Walau pun agak ketat program yang telah diatur, saya amat bangga dengan kepercayaan badan dunia ini terhadap penggiat kerdil seperti saya dirantau ini. Saya akan sedaya upaya melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.

1 comment:

Anonymous said...

Tuan, Cyprus adalah negara yang tidak benarkan Konvoi Frotilla Freedom tu berlabuh.

Maknanya Cyprus bukan boleh dibuat kawan tu tuan!